KUCHING, 3 Disember 2025 – Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah menghadiri Majlis Malam GPS Backbenchers yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Kuching malam tadi.
Majlis ini turut menandakan penutupan rasmi Sidang Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang Ke-19.
Kehadiran YAB Premier dan para anggota Kabinet dalam majlis tersebut menggambarkan perpaduan dan semangat kerjasama erat di antara komponen utama Kerajaan Sarawak.
Dalam ucapannya, YAB Premier menyampaikan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Barisan Backbenchers GPS atas komitmen dan sumbangan berharga mereka sepanjang persidangan.
"Sesi persidangan yang lancar amat penting bagi memastikan agenda Kerajaan Sarawak, khususnya dalam melaksanakan dasar, pendekatan dan inisiatif baharu untuk rakyat,” tegasnya.
Dalam majlis yang sama, YAB Premier turut menekankan transformasi pengurusan sisa di Sarawak ke arah ekonomi kitaran.
Sisa akan dilihat sebagai sumber yang bernilai untuk dimanfaatkan, sekaligus menjana peluang ekonomi dan memulihara alam sekitar.
Apabila sesuatu sisa mempunyai nilai ekonomi, ia akan diuruskan dengan lebih baik dan secara semula jadi mendorong kepada alam sekitar yang lebih bersih," jelas YAB Premier.
“Alam sekitar akan menjadi bersih apabila sisa mempunyai nilai. Apabila sesuatu itu bernilai, orang ramai akan secara semula jadi berusaha untuk mendapatkan pendapatan daripadanya,” tambahnya lagi.
"Dengan ini, kita bukan sahaja mengurus sisa dengan lebih lestari, malah mengubah sisa menjadi salah satu sumber pendapatan," ujarnya.
Turut hadir, anakanda, Puan Dayang Norjihan binti Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak serta Isteri; YB Tan Sri Datuk Amar Hj Asfia Awang Nasar, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak serta Isteri; Yang Berhormat Dato Fazzrudin Abd Rahman, Pengerusi GPS Backbenchers Sarawak merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak serta Isteri; Yang Berhormat Dato Rolland Duat Ak Jubin, ADUN N.48 Meluan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur GPS Backbenchers Night Serta Isteri.